teori keperluan khas kanak-kanak
Kanak-kanak berkeperluan khas ( exceptional children ) terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami kesukaran belajar. Kanak-kanak Pintar Cerdas ( gifted ) yang mempunyai kebolehan yang jauh lebih tinggi daripada norma juga diklasifikasikan sebagai kanak-kanak yang berkeperluan khas. Kedua-dua kumpulan pelajar ini memerlukan pengubahsuaikan kepada kurikulum dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka ( Heward 2003 ).
Istilah lain juga telah digunakan untuk “ kanak-kanak berkeperluan khas ” ini seperti kanak-kanak istimewa, kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak cacat, kanak-kanak abnormal, kanak-kanak bermasalah dan kanak-kanak terbantut pertumbuhan dan perkembangan. Menurut Kail ( 2001 ),hampir 4% daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak-kanak berkeperluan khas.Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar apa-apa bunyi, manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuklah muka ibu bapa sendiri.
Terdapat juga kanak-kanak yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengalami kerencatan mental sejak lahir. Secara umumnya, kanak-kanak berkeperluan khas berbeza daripada kanak-kanak normal dari segi mental (pencapaian akademik), keupayaan deria (melihat dan mendengar), keupayaan berkomunikasi (menulis dan beratur), tingkah laku (mengawal diri), emosi (bercampur gaul), dan ciri-ciri fizikal (bergerak dan menjaga diri sendiri).
Kanak-kanak berpendidikan khas mempunyai masalah tertentu seperti masalah fizikal, masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan, tingkah laku, masalah pendengaran, terencat akal dan pintar cerdas. Kanak-kanak ini dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak ini menunjukkan perkembangan yang berbeza daripada kanak-kanak biasa, misalnya keupayaan kognitif, fizikal yang terhad, kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi
Masalah kecacatan fizikal merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan fizikal, dan memerlukan pengubatan atau peralatan khas seperti pendakap atau kerusi roda. Ia termasuk ketidakupayaan berbentuk neorologi yang melibatkan otak dan urat saraf yang rosak serta kecacatan ortopedik yang melibatkan tulang, sendi dan otot. Di antara masalah yang di kategorikan sebagai kecacatan fizikal ialah seperti cerebral palsy, epilepsy, spina bifida, muscular dystrophy, limb deficiencies, asthma, diabetes dan leukemia.
Masalah penglihatan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan jika kerosakan penglihatan tersebut tidak dapt diperbetulkan dan mengganggu pembelajaran. Kanak-kanak yang bermasalah penglihatan mempunyai penglihatan yang terbatas atau buta. Masalah penglihatan terbatas bermaksud tahap penglihatan kanak-kanak berada di antara 20/70 dan 20/200 dengan penggunaan lensa.
Penglihatan kanak-kanak ini terhad kepada objek yang dekat sahaja. Kanak-kanak yang buta juga kadang kala mempunyai masalah pendengaran dan perkembangan psikomotor mereka agak terhad. Keupayaan motor mereka sebenarnya tidak terjejas dari segi neurologi tapi dipengaruhi pergerakan meraka yang terhad. Mereka tidak boleh meneroka persekitaran seperti kanak-kanak normal yang lain. Ini juga boleh memberi kesan ke atas perkembangan personaliti. Kanak-kanak ini mempunyai konsep kendiri yang lemah dan perhatian lebih yang diberikan kepada mereka boleh menggalakkan pergantungan kepada guru dan rakan untuk sentiasa membimbing mereka. Di samping itu, pengalaman mereka yang terhad dalam dunia visual memberi kesan pada perkembangan bahasa. Misalnya, seorang kanak-kanak normal boleh memberi pelbagai contoh untuk perkataan bulat dan menghuraikannya dengan jelas jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan.
Masalah pendengaran terdapat dua kategori masalah pendengaran iaitu separa pekak dan pekak. Separa pekak bermaksud penggunaan alat pendengaran akan membolehkan kanak-kanak ini menerima pendidikan secara audio. Kanak-kanak yang dikategorikan pekak perlu menerima pendidikan menggunakan sensori lain seperti penglihatan. Tahap kehilangan pendengaran diukur dengan audiometer dalam unit decibel. Seseorang dikategorikan pekak jika tahap kehilangan keupayaan mendengar lebih daripada 70 decibel. Mereka yang tergolong dalam separa pekak mempunyai tahap kehilangan keupayaan pendengaran antara 20 hingga 60 decibel. Seseorang guru perlu peka kepada petanda masalah yang ditunjukkan oleh muridnya. Contoh, symptom seperti kerap meminta orang mengulang apa yang telah disebut. Mereka juga mempunyai masalah untuk mengikut arahan dan salah faham kerap berlaku. Pertuturan kanak-kanak ini tidak lancar kerana masalah sebutan yang sangat lemah. Mereka juga sering mempunyai masalah nada suara yang tinggi atau rendah dan sering memusingkan kepala untuk mendengar. Masalah pendengaran menjejaskan komunikasi dan juga pembelajaran individu. Ketidakupayaan berkomunikasi ini memberi kesan kepada perkembangan sosial, emosi, bahasa dan kognitif individu tersebut.
Masalah pertuturan boleh dikategorikan kepada empat iaitu masalah sebutan, gagap, suara dan masalah bahasa. Masalah sebutan ialah kecenderungan meniggalkan suku kata atau mengubah bunyi suatu perkataan. Misalnya “saya” kepada “caya”. Gagap merupakan gangguan kepada kelancaran percakapan. Aliran percakapan terganggu di mana seseorang itu mungkin mengulang, berhenti seketika atau mencelah dengan suku kata atau perkataan. Gagap berlaku apabila individu tersebut teruja dan ingin menyatakan sesuatu dengan kadar yang cepat. Masalah pertuturan seperti masalah sebutan, gagap, dan suara boleh menimbulkan rasa malu dan menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa tidak selesa dalam situasi sosial. Ia mungkin tidak mengganggu pembelajaran seperti mana masalah biasa. Masalah bahasa biasanya memberi kesan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.
Ramai orang yang beranggapan bahawa orang kurang upaya (OKU) adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kecacatan fizikal seperti terencat akal, cacat anggota, pekak , bisu dan buta. Tidak ramai yang mengetahui bahawa kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran adalah sebahagian daripada mereka yang dikategorikan sebagai OKU di bawah masalah pembelajaran. Secara amnya, terdapat enam kategori keperluan khas di Malaysia yang layak didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan kad OKU. Kategori tersebut ialah kurang upaya pendengaran, penglihatan dan fizikal, cerebral palsi, masalah pembelajaran dan lain-lain.
Di bawah kategori masalah pembelajaran ini adalah kumpulan kanak-kanak yang mengalami lewat perkembangan (Global Developmental Delay) iaitu untuk kanak-kanak yang berusia kurang dari 3 tahun, kanak-kanak Sindrom Down, autisma, kurang tumpuan dan hiperaktif - lebih dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), dan juga kanak-kanak terencat akal (Intellectual impairment) yang berumur lebih dari 3 tahun.
Selain itu masalah pembelajaran spesifik seperti dyslexia (kesukaran dalam menulis, mengeja dan membaca) dan dyscalculia (sukar mengira) juga termasuk dalam kategori keperluan khas. Kebiasaannya, guru-guru berhadapan dengan kanak-kanak yang sukar untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dan sebahagian daripada mereka dilabelkan sebagai bodoh, dungu, lembab dan nakal kerana tingkahlaku mereka yang kadang-kala mengganggu kelas.
Ramai pelajar yang masih gagal menulis nama sendiri, tidak mengenal warna dan bentuk, serta sering gagal melakukan kerja sekolah kerana tidak faham soalan dan sebagainya. Ramai yang beranggapan sekiranya kanak-kanak ini tidak dapat membaca, ianya adalah disebabkan mereka malas dan tidak minat belajar.
Kebanyakan mereka akan diletakkan di kelas terakhir dan diajar oleh guru-guru pemulihan. Guru-guru akan membantu pelajar ini sedaya upaya agar mereka dapat belajar seperti pelajar lain.
Sesungguhnya mengajar di kelas pemulihan memerlukan banyak kesabaran dan sedikit peningkatan dalam pembelajaran kanak-kanak ini adalah satu kepuasan bagi guru-guru ini. Pun begitu, ramai juga guru-guru yang kecewa setelah usaha mereka tidak menampakkan hasil.
Ini adalah titik permulaan di mana pelajar-pelajar ini patut dirujuk kepada pakar psikiatri untuk penilaian seterusnya.
Ramai yang tidak mengetahui dan ramai yang juga tertanya-tanya mengapa perlu dirujuk kepada pakar psikiatri sedangkan anak-anak mereka normal dan tidak mengalami penyakit mental. Sebenarnya masalah pembelajaran adalah salah satu masalah yang dilihat di klinik psikiatri.
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) adalah salah satu hospital yang memberikan perkhidmatan ini.
Kebiasaannya, pelajar boleh dirujuk oleh guru-guru, ibu bapa ataupun oleh doktor dari mana-mana klinik terus ke Unit Bimbingan Kanak-kanak dan Remaja di Klinik Psikiatri. Penilaian asas oleh jururawat yang terlatih ke atas pelajar-pelajar ini akan dilakukan pada sesi pertama.
Penilaian termasuklah ujian untuk mengetahui secara kasar IQ (Intelligent Quotient) pelajar dan beberapa set soal selidik berkaitan tingkah laku pelajar dan masalah pembelajaran. Seterusnya pelajar-pelajar ini akan diberikan tarikh temujanji untuk bertemu doktor.
Kebiasaannya selepas penilaian dilakukan oleh doktor dan disokong oleh laporan akademik pelajar dari pihak sekolah, sekiranya ternyata mereka mempunyai masalah pembelajaran, pelajar ini akan dirujukkan ke JKM untuk pendaftaran OKU dan ke Jabatan Pendidikan Negeri untuk penempatan yang sesuai. Ini adalah amat perlu untuk memastikan mereka mendapat pembelajaran yang lebih baik dalam konteks suasana belajar yang lebih selesa berbanding dengan kelas biasa di mana rakan-rakan yang lain adalah pelajar yang tidak mengalami masalah pembelajaran.
Pada masa yang sama, penilaian dari segi emosi juga dilakukan kerana tidak dapat dielakkan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran ini akan mengalami perasaan rendah diri atas kekurangan mereka dan kemungkinan mengalami tekanan emosi.
Pun begitu, ada juga di kalangan ibu bapa yang kurang bersetuju dengan status OKU dan tidak mahu anak-anak mereka dirujukkan ke sekolah dengan pendidikan khas.
Ini adalah antara masalah yang dihadapi oleh doktor dan kebiasaannya sebelum rujukan dibuat, perbincangan secara mendalam dengan ibu bapa dijalankan agar mereka tidak salah anggap dan faham mengapa kanak-kanak ini perlu dirujuk kepada pakar. Penting untuk doktor menerangkan tentang kelebihan pendaftaran OKU ini, lagipun pihak kerajaan telah memberi banyak peruntukan untuk OKU. Sementara itu, kanak-kanak ini akan dirujukkan ke unit pemulihan cara kerja untuk penilaian lanjut oleh jurupulih cara kerja di HUSM.
Selepas penilaian, jurupulih cara kerja yang memang terlatih dengan masalah pembelajaran ini akan melakukan terapi yang bersesuaian kepada pelajar-pelajar ini.
Kebiasaannya, mereka akan dikenalpasti mengalami masalah seperti sensori integrasi dan pengamatan yang menyebabkan mereka mengalami kesukaran dalam pembelajaran di dalam bilik darjah. Latihan di unit ini perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan keberkesanan terapi.
Pada masa yang sama, pelajar berkenaan akan dirujuk ke unit pertuturan sekiranya mempunyai masalah pertuturan dan unit-unit lain yang berkaitan sekiranya perlu. Ini adalah satu rawatan yang komprehensif untuk kanak-kanak dengan masalah pembelajaran.
Di sini jelas menunjukkan bahawa masalah pembelajaran bukanlah satu masalah yang mudah tetapi ianya adalah satu masalah yang memerlukan kerjasama dari banyak pihak untuk memastikan pelajar ini mendapat peluang belajar sebagaimana pelajar normal yang lain.
Adalah penting untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang lemah dalam pembelajaran menghantar anak-anak mereka untuk penilaian lanjut. Begitu juga guru-guru yang mengenalpasti pelajar-pelajar terutamanya mereka yang gagal dalam KIA 2M untuk menjalani penilaian lanjut agar diagnosis boleh dilakukan dan mereka mendapat tempat yang sepatutnya dalam sistem pendidikan.
Ulasan
Catat Ulasan