pengesanan awal untuk kanak-kanak
Pengesanan atau diagnosis awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas merupakan satu perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan demi pendidikan mereka. Secara umumnya, individu yang berkeperluan khas perlu dikesan daripada awal menerusi proses pengesanan. Hal ini demikian kerana, melalui pengenalpastian pada peringkat awal dapat membantu pembelajaran kanak-kanak tersebut. Pengesanan boleh dilakukan secara tidak formal oleh individu yang rapat dengan kanak-kanak seperti guru, ibu bapa, penjaga mahupun pembantu rumah melalui pemerhatian dan analisis hasil kerja. Pengesanan secara formal pula boleh dijalankan menerusi penilaian perkembangan dan penilaian pencapaian. Pengesanan boleh dilakukan di dalam bilik darjah dan di rumah. Dalam erti kata yang lain, pengesanan boleh digunakan untuk mengenal pasti individu yang memerlukan penilaian yang lebih mendalam.
Oleh yang demikian, pengesanan atau diagnosis awal sangat penting dalam menjamin kemajuan dan perkembangan kanak-kanak yang dikenalpasti berkeperluan khas. Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menjalankan proses pengesanan ke atas kanak-kanak. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut dan mendalam tentang ketidakupayaan yang dimiliki oleh kanak-kanak, teknik yang betul dan bersesuaian haruslah dilaksanakan. Antara teknik yang boleh digunakan oleh pemerhati untuk mengesan ketidakupayaan dan keperluan kanak-kanak adalah catatan anekdot, catatan berterusan, catatan spesimen, mensampel masa, mensampel peristiwa dan senarai semak.
Teknik-teknik ini dapat membantu dan memudahkan proses pengesanan untuk dilakukan. Ke semua teknik ini adalah berbeza namun saling melengkapi antara satu sam lain. Hasil yang diperoleh melalui teknik ini boleh dibawa ke peringkat yang seterusnya untuk didiagnos oleh pakar-pakar yang tertentu. Kanak-kanak khas tidak juga mempunyai keinginan untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Oleh yang demikian, pengesanan awal mampu membela nasib kanak-kanak yang berkeperluan khas dalam dunia pendidikan.
Terdapat banyak kepentingan dalam menjalankan pengesanan. Kepentingan ini terbahagi kepada tiga iaitu pengesanan jenis ketidakupayaan, tahap perkembangan dan tahap pencapaian.
Melalui pengesanan jenis ketidakupayaan, pemerhati dapat membuat laporan kepada ibu bapa dan seterusnya kepada pakar kesihatan yang tertentu. Melalui hasil pengesanan jenis ketidakupayaan, pemerhati akan mengetahui ketidakupayaan yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut. Oleh itu, ibu bapa mahupun guru dapat menggunakan laporan yang diperolehi untuk dijadikan sebagai rujukan oleh pakar kesihatan. Pakar kesihatan juga akan menggunakan laporan ini untuk mengetahui jenis-jenis ketidakupayaan oleh kanak-kanak ini. Mereka juga akan sentiasa memantau dan memberi maklum balas terhadap sebarang perubahan mahupun perkembangan dalam diri kanak-kanak itu.
Laporan yang diperolehi ini juga akan turut mendedahkan kaedah yang paling sesuai dijalankan untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai ketidakupayaan ini. Mereka tidak seharusnya dipinggirkan. Justeru ibu bapa boleh mengatasi ketidakupayaan yang dimiliki oleh anak-anak mereka dengan menyediakan ruang dan peluang peluang kepada mereka untuk mendapat keperluan seperti anak-anak yang lain.
Kepentingan yang seterusnya ialah pemerhati dapat membuat penilaian awal tentang ketidakupayaan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, tidak semua ketidakupayaan ini dipamerkan secara jelas oleh kanak-kanak. Terdapat ketidakupayaan yang berlaku secara halus seperti mempunyai masalah dalam memberikan perhatian atau juga lalai dalam melaksanakan kerja sekolah. Kadang kala ramai pihak yang mengambil ringan masalah ini walhal masalah ini merupakan antara salah satu ketidakupayaan. Oleh yang demikian, kanak-kanak yang berkeperluan khas ini memerlukan penilaian awal terhadap ketidakupayaan mereka sama ada secara formal ataupun secara tidak formal. Secara ringkasnya penilaian awal terhadap ketidakupayaan kanak-kanak membolehkan guru untuk mengenal pasti kanak-kanak khas yang berhak mendapat pendidikan dan didikan yang sewajarnya. Bantuan dalam bidang pendidikan akan diberikan kepada anak-anak ini oleh para guru supaya mereka turut berasa seperti dihargai dan dipunyai.
Selain itu, pengesanan jenis ketidakupayaan pada peringkat awal dapat membantu kanak-kanak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Kepentingan ini juga turut terdapat dalam pengesanan tahap perkembangan dan pengesanan penilaian Kanak-kanak tidak mampu untuk menyatakan masalah yang mereka alami. Oleh sebab itu, pengesanan yang dilakukan oleh pemerhati membolehkan guru mengambil langkah yang sepatutnya supaya kanak-kanak ini turut mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak normal yang lain. Sebagai contoh, ramai kanak-kanak yang mempunyai masalah membaca yang juga dikenali sebagai ‘Disleksia’. Justeru, guru perlu sentiasa menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak ini supaya masalah yang mereka hadapi ini dapat ditangani. Masalah ini dapat dikurangkan sekiranya guru mengambil langkah drastik dengan menolong kanak-kanak berkeperluan khas ini menyelesaikan masalah yang membelenggu hidup mereka.
Pengesanan jenis ketidakupayaan akan membolehkan guru mengumpul maklumat untuk tujuan penempatan. Kepentingan ini juga turut terdapat dalam pengesanan tahap perkembangan dan pengesanan penilaian. Kanak-kanak istimewa berbeza keupayaan mereka berbanding kanak-kanak yang normal. Keupayaan mereka terbatas. Oleh yang demikian, mereka perlu diasingkan dari segi program pengajaran, pendekatan, bahan pengajaran, persekitaran pembelajaran dan lain-lain lagi supaya proses perkembangan pembelajaran mereka berjalan dengan lancar dan baik.
Maklumat yang diperoleh dalam proses pengesanan dapat membezakan antara kanak-kanak yang berkeperluan khas dengan kanak-kanak normal. Maklumat ini dapat membantu guru menyediakan ataupun menyelaraskan sistem pengajaran dan pembelajaran tanpa wujud diskriminasi. Hal ini membolehkan kanak-kanak mengikuti sesi pembelajaran yang sama rata. Melalui aktiviti penempatan ini, kanak-kanak dikenalpasti untuk diletakkan sama ada secara inklusif iaitu ditempatkan di kelas biasa dan sekolah biasa mahupun secara integrasi iaitu di kelas pendidikan khas di sekolah biasa atau di sekolah pendidikan khas sepenuhnya.
Melalui pengesanan awal jenis ketidakupayaan dan tahap perkembangan, kanak-kanak boleh menjalani rawatan spesifik dan segera. Keperluan kanak-kanak khas yang telah dikesan oleh pemerhati akan seterusnya dirawat oleh pakar perubatan yang berkaitan. Rawatan segera ini dapat menghidarkan komplikasi lain terjadi pada kanak-kanak untuk jangka masa yang akan datang. Selain daripada itu, rawatan spesifik yang diberikan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas mampu mengurangkan risiko dalam perkembangan pembelajaran kanak-kanak tersebut.
Pengesanan tahap perkembangan dan pencapaian juga penting dalam menentukan hala tuju kanak-kanak. Setelah melalui proses pengesanan, guru mahupun ibu bapa perlu menyediakan langkah seterusnya supaya membolehkan kanak-kanak ini mendapat apa yang sepatutnya mereka perolehi. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami masalah kecelaruan emosi akan dirujuk kepada pakar psikiatrik atau ahli psikologi untuk rawatan selanjutnya.
Selain itu, tahap perkembangan semasa dan pendidikan yang diperlukan dapat dikenalpasti. Kepentingan ini terkandung dalam pengesanan tahap perkembangan dan tahap pencapaian. Hal ini adalah kerana, kanak-kanak yang dikenal pasti mempunyai keperluan khas memerlukan spesifikasi yang jelas dan tepat. Proses ini dapat dilakukan dengan menilai perkembangan semasa kanak-kanak yang melibatkan pra-akademik, akademik dan teknik sosial. Apabila maklumat dikumpul, pemerhati mahupun guru akan dapat menentukan subjek dan teknik yang bersesuaian untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Menerusi pengesanan tahap perkembangan dan pengesanan tahap pencapaian, guru dan ibu bapa dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang dimiliki oleh kanak-kanak. Kekuatan dan prestasi kanak-kanak seharusnya ditingkatkan manakala kelemahan pula harus diperbaiki. Contohnya, kanak-kanak yang cenderung belajar menggunakan warna perlu sentiasa didedahkan dengan aktiviti yang melibatkan warna seperti mewarna lukisan, mewarna mural, ‘box movies’, ‘flannel board’ dan banyak lagi. Sekiranya kanak-kanak kurang mahir dalam pertuturan, guru perlu cakna kepada mereka dengan menambahkan aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa seperti permainan ‘charade’, bercerita, lakonan, deorama dan sebagainya.
Berdasarkan pengesanan tahap perkembangan dan pengesanan tahap pencapaian, guru dapat menyediakan suatu rancangan berdasarkan keperluan tersebut atau lebih dikenali sebagai Rancangan Pendidikan Individu (RPI). Pelaksanaan RPI ini dibuat adalah bertujuan mengenalpasti kelemahan dan kekuatan pelajar serta membuat perancangan pendidikan yang diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas mengikut potensi dan keperluan khas mereka yang berbeza-beza.
Guru bertanggungjawab merancang dan menyediakan bahan RPI, bertemu dengan ibubapa kanak-kanak dan juga menyediakan bahan pembelajaran kanak-kanak bagi mencapai matlamat RPI. Melalui RPI, guru merancang aktiviti untuk kanak-kanak tersebut. Guru berbincang dengan dengan kanak-kanak tersebut, berbincang dengan guru kelas, guru mata pelajaran dan juga ibubapa atau penjaga murid. Oleh itu, melalui pengesanan dapat membantu guru dalam menyediakan rancangan yang paling sesuai dengan keperluan kanak-kanak khas tersebut.
Pengesanan merupakan proses yang memerlukan teknik dan prosedur yang sesuai dan tepat. Proses pengesanan ini juga harus dilakukan dalam situasi sebenar seperti di bilik darjah ataupun di rumah supaya tingkah laku kanak-kanak ditunjukkan tanpa sebarang lakonan. Oleh itu, teknik yang bersesuaian harus dipilih oleh pemerhati dalam melakukan pengesanan ketidakupayaan dan keperluan kanak-kanak khas agar pengesanan yang dilakukan membuahkan hasil yang sepatutnya diperoleh.
Antara beberapa teknik pengesanan ketidakupayaan dan keperluan kanak-kanak khas yang boleh digunakan adalah cacatan anekdot, catatan berterusan, catatan spesimen, mensampel masa, mensampel peristiwa dan senarai semak.
Catatan anekdot merupakan catatan yang dibuat oleh penyelidik mengenai kelakuan-kelakuan yang luar biasa (Sutrisno Hadi, 1985). Catatan ini menggambarkan dan menjelaskan tentang naratif tingkah laku yang penting kepada pemerhati. Anekdot ini menghuraikan apa yang berlaku secara fakta dan objektif. Pemerhati tidak membuat andaian sendiri berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak. Catatan ini juga menerangkan bagaimana tingkah laku berlaku, bila dan di mana ia berlaku, dan apa yang dikatakan dan dilakukan oleh kanak-kanak tersebut.
Selain daripada itu, catatan anekdot bersifat selektif iaitu penyelidik memilih peristiwa yang bermakna dan mempunyai hubungan dengan perkembangan individu. Kebiasaannya, catatan anekdot ditulis selepas peristiwa tersebut berlaku dan ditulis oleh orang yang rapat dengan kanak-kanak tersebut. Rekod ini dapat menyediakan gambaran yang lengkap tentang kemajuan seseorang kanak-kanak apabila ditelitikan secara kumulatif. Catatan anekdot mengandungi perincian tentang ekspresi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak, intonasi suara dan pergerakan badan.
Antara yang kerap digunakan untuk melakukan pengesanan ketidakupayaan dan keperluan kanak-kanak khas ialah catatan berterusan. Catatan berterusan merupakan satu catatan naratif yang terperinci tentang tingkah laku kanak-kanak mengikut urutan ia berlaku. Catatan berterusan ini merupakan catatan yang lengkap tentang tingkah laku kanak-kanak kerana catatan ini melihat kesemua tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dalam masa yang telah ditetapkan.
Catatan berterusan dilakukan sewaktu tingkah laku tersebut berlangsung. Kebiasaannya, pemerhati hanya menggunakan ayat-ayat yang ringkas dan pendek bagi menerangkan tingkah laku yang ditunjukkan supaya pengekalan penumpuan kepada perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak tersebut berjalan dengan baik. Data yang ditulis juga harus berbentuk fakta dan objektif. Pemerhati tidak dibenarkan menggunakan perkataan-perkataan atau frasa-frasa yang deskriptif dan bersifat menghakim.
Catatan spesimen merupakan catatan yang lebih panjang dan mengandungi maklumat tambahan seperti peristiwa yang berlaku sebelum dan selepas tingkah laku yang ingin diperhatikan ditunjukkan oleh kanak-kanak. Melalui catatan spesimen, pemerhati menumpukan perhatian kepada tingkah laku yang ingin diperhatikan. Satu tingkah laku yang ingin diperhatikan dikenal pasti terlebih dahulu.
Kanak-kanak dijadikan sebagai spesimen untuk menguji sesuatu tingkah laku yang telah dikenal pasti. Kanak-kanak diletakkan dalam sesuatu situasi seperti di dalam bilik darjah dengan peristiwa atau keadaan tertentu. Rekod akan dicatatkan jika kanak-kanak tersebut menunjukkan tingkah laku yang telah dikenal pasti untuk diperhatikan.
Pemerhati perlu mencatatkan kekerapan berlakunya sesuatu tingkah laku yang dipamerkan dalam masa yang telah ditentukan. Satu sela masa akan ditetapkan dalam tempoh masa tersebut. Tingkah laku telah ditetapkan terlebih dahulu sebelum pemerhatian dijalankan ke atas kanak-kanak tersebut. Di samping itu, tingkah laku yang direkod ialah tingkah laku overt iaitu yang dapat dilihat dengan jelas dan boleh dikira. Tingkah laku berjaya menyelesaikan masalah merupakan contoh tingkah laku yang tidak sesuai kerana tidak jelas untuk diperhatikan oleh pemerhati. Teknik ini efektif untuk dijalankan kerana ia bersifat lebih objektif dan terkawal kerana tingkah laku adalah terhad dan telah ditentukan terlebih dahulu.
Teknik ini merupakan teknik yang memerlukan pemerhati menunggu dan merekod tingkah laku yang telah dipilih. Oleh sebab itu, pemerhati perlu menentukan tingkah laku yang ingin diperhatikan terlebih dahulu. Pemerhati juga perlu memastikan kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut. Perkara penting apabila pemerhati menggunakan teknik ini ialah pemerhati perlu mencatatkan perkara yang berlaku sebelum dan selepas tingkah laku itu ditunjukkan. Oleh itu, pemerhati perlu mengambil peluang terhadap sesuatu situasi yang berlaku kerana kanak-kanak mungkin menunjukkan tingkah laku tersebut pada masa itu. Maka pemerhati hanya perlu menunggu dan merekodkan tingkah laku tersebut. Menerusi peristiwa dan tingkah laku yang dipamerkan oleh kanak-kanak ini, guru dapat menghasilkan suatu rancangan bagi mengatasi masalah yang berlaku.
Senarai semak merupakan satu senarai yang mengandungi item-item spesifik berkenaan tingkah laku yang disusun secara teratur. Di samping itu, tingkah laku yang terkandung dalam senarai semak mestilah tingkah laku yang jelas dan senang diperhatikan. Senarai semak ini dijadikan alat untuk merekod tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak.
Teknik ini menjadi sangat bermanfaat apabila pemerhati ingin merekod banyak tingkah laku terhadap kanak-kanak. Guru hanya perlu menandakan pada atau tingkah laku atau kemahiran yang disenaraikan untuk memastikan sama ada kanak-kanak telah mempamerkan mahupun menguasai tingkah laku atau kemahiran berkenaan.
Di samping itu, teknik ini sangat mudah untuk dianalisis kerana masa dan tarikh sesuatu tingkah laku berlaku dapat dicatatkan untuk membuatkan rekod menjadi lebih lengkap. Senarai semak yang berbeza boleh digunakan untuk pemerhatian yang berlainan. Selain itu, senarai semak juga boleh boleh dikumpul sekiranya pemerhati ingin memerhatikan kanak-kanak yang sama pada tahun-tahun yang berikutnya namun tarikh perlu direkodkan pada item-item tersebut. Satu senarai semak boleh digunakan oleh seorang pemerhati dan boleh juga digunakan oleh ramai pemerhati. Senarai semak lazimnya didasarkan pada objektif pengajaran. Hal ini dapat membantu guru mengenal pasti kelemahan yang dialami oleh kanak-kanak dalam kelasnya.
Senarai semak juga senang untuk diinterpretasi berbanding satu perenggan ayat yang panjang dan mengandungi deskripsi yang kompleks. Walau bagaimanapun, senarai semak perlu disediakan dengan berhati-hati dan teliti. Sekiranya pemerhati ingin menggunakan senarai semak yang dibuat sendiri atau senarai semak yang sedia ada, pemerhati perlu memastikan setiap item adalah objektif dan jelas. Namun item-item yang telah dibuat sendiri atau senarai semak yang sedia ada, pemerhati perlu memastikan setiap item adalah objektif dan jelas. Namun item-item yang terkandung dalam senarai semak mestilah satu pernyataan yang tidak menghukum. Ayat yang digunakan perlulah positif dan tidak berulang-ulang.
Pengesanan pada peringkat awal dapat membantu kanak-kanak berkeperluan khas untuk mendapat peluang pendidikan seperti kanak-kanak normal yang lain. Peluang dan ruang perlu diberikan kepada semua kanak-kanak istimewa ini agar mereka dapat berjaya dalam hidup. Oleh yang demikian, guru mahupun ibu bapa perlu mengambil berat tentang keperluan yang sepatutnya dimiliki oleh anak-anak ini. Teknik-teknik ini dapat digunakan bagi membantu dan memudahkan semua pihak untuk mengesan kekurangan yang dihadapi oleh kanak-kanak.
Kanak-kanak istimewa tidak diminta untuk dilahirkan dengan memiliki ketidakupayaan. Kanak-kanak ini berbeza dan memiliki kelebihan yang tersendiri. Ramai masyarakat yang memandang golongan istimewa ini dengan pandangan yang penuh sinis. Mereka dapat mengertikan maksud pandangan yang dilemparkan oleh kita kepada mereka namun mereka tidak mampu menzahirkan ketidakpuasan hati mereka itu. Mereka punya hati dan perasaan. Mereka juga mempunyai naluri untuk disayangi dan dihargai. Mereka tidak mampu meminta tetapi kita sebagai manusia yang dilahirkan cukup sempurna perlu menyayangi kanak-kanak yang memiliki keperluan khas dengan sepenuh hati. Semua pihak perlu menolong kanak-kanak ini supaya mereka juga dapat berjaya dalam hidup kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kita.
Ulasan
Catat Ulasan